Saturday, December 3, 2016

Apabila Disapa Kegagalan...

Kegagalan? Semua manusia pernah menghadapi kegagalan tetapi dengan jalan yang berbeza. ALLAH SWT, tidak pernah tidak adil. ALLAH berikan dugaan yang lain-lain pada setiap orang. Kesedihan anda? ALLAH tahu.. ALLAH nampak..

Menghadapi kegagalan lalu berputus asa, anda sebenarnya zalim terhadap diri sendiri! Bila disapa kegagalan, anda sebenarnya tidak gagal. Malah sebenarnya anda mendapat perhatian lebih daripada
ALLAH SWT. Masa inilah, mungkin ALLAH SWT mahu melihat bagaimana anda sebagai seorang hamba menjalankan peranan. Adakah kegagalan itu menjauhkan anda dari DIA? Atau mendekatkan pada-Nya?

Dengar sini sahabat, apa kamu lupa pada janji ALLAH dalam kitabullah? “Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras (untuk urusan yang lain). dan hanya kepada Tuhanmulah engkau berharap.” asy Syarh : 5-8

Kegagalan anda itu sebenarnya, ALLAH sudah sediakan jalan keluar. Jalan kejayaan. Yang penting adalah anda berusaha dan berusaha lagi sehingga berjaya. Kegagalan tidak selamanya, kejayaan pasti ada! Hidup ini sebenarnya bertunjangkan keyakinan kepada ALLAH SWT. Jika anda tidak yakin terhadap ALLAH, jadi bagaimana kiranya ALLAH akan yakin terhadap anda? MashaALLAH.

Sama seperti kita berdoa, ALLAH memakbulkan doa. Subhanallah! Namun, apa yang ALLAH makbulkan adalah apa yang manusia perlukan dan baik untuk kehidupannya. Bukan apa yang dihajatinya, dan mungkin doanya itu adalah sesuatu yang tidak baik untuknya. Makanya, ALLAH berikan apa yang sepatutnya manusia perlukan.

Sebenarnya, kemuliaan anda adalah bilamana anda gagal, tetapi anda tetap meneruskan langkah disamping menjadi seorang hamba yang baik kepada Tuhannya. Sekiranya airmata ingin merembes keluar, maka alirkannya dihadapan Sang Khaliq. Mengadulah hai sahabat dihadapan ALLAH. ALLAH mendengar pengaduanmu. ALLAH rindu pengaduan. ALLAH tahu deritamu, ALLAH tahu manik jernih dari matamu itu gugur lantaran mengakui kekerdilan diri seorang hamba.

Apa yang penting, sekiranya diberi ujian kegagalan, anda seharusnya berfikiran positif terhadap diri anda terlebih dahulu, barulah makhluk lain akan berfikiran positif terhadap anda. Yakin, yang ALLAH sentiasa ada dan memandang anda. Sekiranya ada orang menyisihkan anda, maka tersenyumlah. Kerana ALLAH dan para malaikatnya sentiasa berada disamping anda. Ini bukan rekaan. ALLAH suka pada hamba-Nya yang sentiasa bersyukur.

Anda bukan seorang yang gagal. Kegagalan adalah lumrah hidup manusia. Dan semua manusia akan melaluinya. ALLAH ada untuk kamu.. InsyaALLAH, Kamu hamba yang terpilih dan bertuah!

No comments:

Post a Comment