Sesiapa yang menyemai semaian atau menanam pertanian, lalu dimakan oleh manusia, burung, atau binatang buas, maka ia adalah sedekah bagi dirinya. Demikian kata-kata hikmah ilmuan Islam, Abu Zakaria Yahya bin Muhammad bin Al-Awwam Al-Isybili atau Ibnu Al-Awwam.
Ibnu Al-Awwam hidup pada zaman paling sukar dan mencabar ketika peradaban Islam yang agung dari Andalus melalui zaman keruntuhan, tidak mematahkan semangat ilmuan ini menghasilkan kitab agung dalam bidang
pertanian dan ternakan.
Kitab yang dinamakan Al-Filahah adalah sebuah kitab besar yang mempunyai 34 fasal. Ia dibahagikan kepada dua bahagian khusus iaitu pertanian dan empat fasal terakhir memberi tumpuan kepada bidang penternakan. Bahagian pertama, dikhususkan kepada cara memilih tanah dan bagaimana untuk menyuburkannya; baja dan cara pengendalian; air dan cara menanam pohon dengan mengenali jenis tumbuhan sama ada sesuai ditanam atau tidak.
Seterusnya beliau menjelaskan cara mengurus kebun bermula dari kaedah memilih pokok, jenis buah-buahan yang boleh ditanam mengikut kawasan dan waktu sesuai untuk bercucuk tanam. Beliau juga tidak lupa menunjukkan cara menyuntik pokok, mengahwinkan pokok, menyembuhkannya dari pelbagai penyakit serta cara menyimpan biji-bijian, buah-buahan basah dan kering.
Dalam bahagian kedua kitab Al-Filahah, Ibnu Al-Awwam membicarakan mengenai cara menternak dan merawat ternakan, disamping penelitian mengenai bentuk pembedahan serta cara menyembuhkan anggota badan ternakan yang sakit. Beliau juga mengkhususkan satu fasal yang lengkap mengenai kuda dimana penekanan diberikan kepada cara menternak kuda, cara menunggang dengan membawa senjata dan tanpa senjata.
Tidak ketinggalan, beliau menerangkan cara menternak dan memelihara unggas serta lebah dengan jelas, selain memperkatakan mengenai anjing. Menyedari manfaat ilmu yang tercatat dalm kitab itu, isi kandungannya diterjemahkan dalam pelbagai bahasa termasuk sepanyol (dicetak di Madrid pada 1802), Seville (1878) dan bahasa Perancis yang kemudian dicetak di Paris pada 1865.
Sebagai seorang yang begitu teliti, Ibnu Al-Awwam memastikan setiap kaedah pertanian yang ingin diperkenalkan melalui ujian praktikal terlebih dahulu sebelum diterangkan dalam bentuk tulisan. tidak hiranlah apabila Ibnu Al-Awwam turut digelar sebagai ilmuan Islam amanah kerana beliau begitu bertanggungjawab terhadap ilmu pengetahuan yang ingin disampaikan kepada orang lain.
Sebagai seorang yang jujur, beliau akan memastikan maklumat yang disampaikan tepat dan benar. Jika tumbuhan itu tidak sesuai untuk kawasan berkenaan, beliau akan memberitahu petani kedudukan yang sebenar. sikap itu juga menjadikan beliau seorang yang agak cerewet dan sentiasa meminta pemilik kebun memeriksa kebun mereka serta menyadiakan laporan perkembangan tanaman bagi memuaskan hati beliau.
Ilmuan Arab Muslim dan meraka yang membuat pengkhususan dalam bidang ilmu pertanian serta tumbuh-tumbuhan mengambil manfaat daripada kitab Al-Falahah kerangan Ibnu Al Awwam. Kaedah ilmu Ibnu Al-Awwam mempunyai pengaruh besar dalam bidang pertanian, di mana melalui apa yang diterangkan dalam buku berkenaan menjadi panduan berguna terutama kepada golongan yang berminat menceburi bidang perladangan dan penternakan.
Kitab Al-Falahah adalah rujukan terbaik bukan saja untuk petani zaman dahulu, malah sekarang dalam usaha mereka meningkatkan pengetahuan, seterusnya memajukan diri dalam bidang yang ingin diceburi.
No comments:
Post a Comment