Friday, November 25, 2016

Amanah Terbesar Ibu Bapa - Bahagian 1



Anak ialah amanah atau pertaruhan yang Allah amanahkan kepada kita supaya kita menjaga dan memelihara mereka baik mengikut landasan Islam. Ibubapa mesti bertanggungjawab bukan saja di dunia bahkan di akhirat sewaktu berhadapan dengan Allah kelak. Dalam rangka memelihara amanah Allah itu, ibu bapa adalah diwajibkan berusaha dengan bersungguh-sungguh melaksanakan didikan agama. Tegasnya mendidik anak beragama itu adalah wajib hukumnya (bukan setakat pendidikan untuk UPSR, PMR atau SPM), Sebaliknya ibu bapa yang melalaikan tugas amanah ini adalah berdosa.

Rasulullah saw bersabda: "Hendaklah kamu pastikan anak-anakmu belajar agama dan hendaklah kamu baguskan akhlaknya." 
Setiap anak yang dilahirkan itu bersih fitrahnya. Adalah menjadi tugas ibu bapa untuk mencorakkan kehidupan anak-anak seterusnya sama ada untuk menjadikannya baik atau sebaliknya. Sabda Nabi saw:
"Semua anak yang dilahirkan ke dunia ini dalam keadaan yang suci bersih. Maka kesalahan ibu bapalah menjadikan mereka Yahudi, Nasrani atau Majusi." 

Hadith tersebut menunjukkan kepada kita betapa beratnya tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anaknya. Kesalahan kita mendidiklah maka anak-anak sekarang menjadi tidak  keruan hidupnya dengan pelbagai masalah sosial seperti bohsia, bohjan dan aktiviti lepak yang semakin menjadi. Sungguh malang seribu kali malang, sudahlah ibu bapa tidak memberi didikan agama kepada mereka, ibu bapa sendiri tidak berpengetahuan agama dan paling dahsyat lagi, mereka asyik mengumpul dan terpengaruh dengan pujukan dunia. Menjadi korporat adalah satu lagi keparat (maaf - bukan semua). Oleh kerana hendakkan kemewahan yang berlipat ganda terabai tugas sebagai bapa dan suami. Anak maharajalela dan isteri pula main kayu tiga. 

Berapa banyak hari ini anak-anak yang tidak tahu membaca Al-Quran. Tidak tahu solat bahkan Fatihah pun tak boleh baca, jauh sekali dari menghafalnya. Masya'Allah ada yang tak tahu menyebut syahadah walaupun sudah baligh. Inikah wawasan kita membangunkan kemanusiaan anak-anak.  

Akibatnya kebanyakan anak-anak hari ini terdiri daripada mereka yang hanya pandai berfoya-foya, pandai menyakitkan hati dan meracuni jiwa serta menderhakai orang-orang tuanya. Akhirnya mereka akan menjadi anak yang liar. Ibu bapa seolah-olah memelihara anak-anak haiwan sama seperti anak harimau, kucing atau ayam. Betapa tidaknya, haiwan tidak solat samalah seperti anak-anak itu. Bahkan haiwan lebih baik sebab tidak diberikan akal. Ketika ini baru ibu bapa mengeluh bukan menyalahkan dirinya tetapi salahkan anak-anak dan paling teruk menyalahkan orang lain. Sebenarnya semua ini berpunca daripada ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang didikan agama terhadap anak-anak. 

Ibu bapa mesti mengambil berat tentang soal pemakanan anak-anak. Bukan diperhatikan tentang khasiat vitamin makanan itu saja tetapi pastikan kehalalannya. Adakah ia dari sumber yang halal atau haram. Ini penting kerana mengikut Nabi daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka neraka lebih utama untuknya. Sekarang ini perkara seperti ini jarang diberikan penekanan tambahan pula amalan ekonomi yang berasaskan perbankan non-Islamik. Bagaimana diharapkan amalan soleh jika pemakanan tidak lagi soleh. Makanan yang baik membuahkan amalan baik (soleh), manakala makanan yang tidak baik menghasilkan amalan yang tidak baik juga (tholeh). 


Satu kisah pada zaman Nabi, seorang sahabat yang berjemaah bersama nabi kerap keluar dari jamaah awal sebelum sempat berdoa. Nabi bertanyakan kenapa balik tergesa-gesa sebelum berdoa. Sahabat itu menerangkan dia mempunyai anak kecil yang ibunya baru meninggal dunia. Dia takut anaknya mengambil dan memakan buah tamar jiran yang gugur di halaman rumahnya dan ditakuti akan menjadi darah dagingnya. Sahabat itu menjelaskan daging yang disuburkan dari benda yang haram itu tidak layak masuk syurga. Mendengarkan penjelasan itu, Nabi terdiam dan tidak berkata apa-apa, hanya memperhatikannya sahaja dia pulang ke rumah. 

Insya-Allah. Bersambung...

No comments:

Post a Comment