Friday, November 25, 2016

Amanah Terbesar Ibu Bapa - Bahagian Akhir

Atau adakah pangkat dan bintang yang berjela-jela dibawa untuk dipersembahkan kepada Allah? Dengan pangkat, kedudukan dan darjat terasa seolah-olah kita sudah jadi orang besar dan terasa  bongkak dengan Allah. Dengan orang miskin dipandang hina. Dengan ulama dipandang leceh. Adakah pangkat dan darjat dapat menebus dosa yang dilakukan di dunia ini. Dapatkah semua ini menyelamatkan diri dari api neraka? Semua ini tidak berlaku di akhirat.

Memelihara anak dengan baik adalah ibadat tetapi bagaimana pula jika disebabkan terlalu sayangkan anak hingga tak sempat solat Maghrib,
adakah ibadat juga? Adakah anak itu akan menolong semasa berhadapan dengan Allah kelak? Jawapannya tidak.

Perkara yang menyelamatkan kita pada hari yang tidak bermanfaat harta dan anak pinak ialah jiwa yang suci lagi tenteram. Hati yang suci hanya kepunyaan orang beriman. Orang kafir, fasik dan munafik tidak tenteram hatinya. Orang beriman itu apa tandanya? Mereka yang beribadat ikhlas kerana Allah. Ikhlas memainkan peranan penting kerana menurut hadith "Semua manusia rugi kecuali orang berilmu. Semua orang berilmu rugi kecuali beramal. Semua orang beramal rugi kecuali yang ikhlas."

Oleh itu, perlu mencari keikhlasan dalam ibadat. Caranya dengan menghadiri majlis ilmu di masjid-masjid di samping kita berdoa kepada Allah supaya kita dilimpah dengan kurnia, taufiq dan hidayah-Nya. Bukan mudah mendapat anugerah Allah. Untuk mendapatkan anugerah dan kurnia sultan pun terpaksa lobi-melobi apatah lagi untuk kurniaan Allah. 

Sebelum kita dimatikan oleh Allah, maka janganlah kita sia-siakan hidup dan umur kita ini dengan perkara-perkara yang melalai dan merugikan. Ingatlah 1000 tahun di dunia hanya dikira 1 hari di akhirat. Allah mencabar dan mengingatkan kita dalam firmanNya:

"Adakah kamu anggap, bahawa Kami jadikan kamu dengan percuma (sia-sia) sedangkan kamu akan kembali kepada Aku?" -
                                                            (Al-Mukminun:115)

Ayat di atas adalah sebagai ingatan Allah kepada kita yang suka membuang masa dengan sia-sia. Allah menegaskan lagi dalam Al-Quran dengan firman-Nya: 

"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku."

Adakah kita kira kita tidak mati atau lambat lagi akan mati? Ingat Firman Allah

"Di mana sahaja kamu berada, kematian akan mengejar kamu, meskipun kamu di dalam benteng yang kukuh lagi tinggi." - (An-Nisa':78)

Ingatlah kehidupan dunia ini tidak lain hanya kesenangan yang menipu daya. Dulu muda sekarang tua. Dulu cantik sekarang kedut. Dulu sihat sekarang sakit. Dulu ada gigi sekarang rongak. Dulu berambut hitam sekarang beruban. Dulu tampan sekarang bongkok. Dulu ramai kawan sekarang sendirian. Dulu ada pangkat sekarang pencen. Dulu mewah sekarang muflis. 
                      
Ingatlah segala harta benda dan anak pinak tidak akan mengiring kita masuk ke dalam kubur. Mereka hanya iringi hingga ke liang kubur saja. Selepas itu mereka semua balik ke rumah dan enjoy semula. Kita di dalam kubur bersendirian, disemadikan seorang diri di pusara yang senyap sunyi, tinggal di kubur dan tidak akan kembali lagi ke rumah besar kita.
Hanya satu saja yang paling setia mengikut kita dan menemani kita di sana. Itulah pekerjaan dan amalan kita yang ikhlas. Mereka menjadi kawan baik kita. Selepas itu apa lagi yang bersama-sama kita di kubur. Sabda Nabi:

"Apabila mati anak Adam, maka putuslah segala amalannya kecuali 3 perkara: sedekah jariah (sedekah berkekalan), ilmu yang dimanfaatkan dan anaknya yang soleh yang mendoakan."

Yang dikatakan sedekah jariah ialah amalan sedekah yang pahalanya sampai menemuinya walaupun sudah meninggal 500 tahun umpamanya seperti membina masjid, surau, membina rumah anak yatim dan sebagainya. Mengikut setakat mana keikhlasan kita. Ada juga amalan jariah yang tidak dibalas dengan pahala tetapi dosa, contohnya mendirikan dewan tarian, mendirikan panggung wayang dan pentas hiburan semua dosa orang yang mengunjungi tempat itu akan dihantar kepada si mati walaupun telah 600 tahun.

Termasuk dalam kategori ilmu yang dimanfaatkan ialah seperti menulis kitab yang memberikan kesedaran kepada orang dan buku itu digunakan zaman berzaman. Selagi kitab itu digunakan dan faedahnya tersebar luas, pahala akan terus mengalir kepadanya.

Anak soleh yang mendoakan. Sekarang ini anak bernama Saleh tapi amalan tak soleh. Ada juga orang kafir dipanggil Mat Saleh, kenapa agaknya dipanggil Saleh? Seolah-olah menghina istilah 'soleh'. Anak yang beribadat, bersolat dan mendoakan kita, pahalanya juga akan sampai kepada kita lantaran didikan dan asuhan kita dulu. Ibarat pokok yang kering apabila disiram air akan segar semula. Begitulah kita di alam kubur nanti, apabila menerima pahala anak-anak kita kembali segar. Begitulah mustajabnya anak yang soleh mendoakan kedua ibu bapanya.

Menurut hadis, orang yang mati seolah-olah dalam keadaan lemas. Sahabat Nabi bertanya bagaimana untuk menolong mereka dari lemas. Nabi menerangkan hadiahkan Fatihah kepada si mati supaya ia tidak lemas dan mampu untuk timbul. 

Ramai beranggapan anak yang soleh ialah anak-anak bergaji besar, berkereta besar, berumah besar, bercakap besar dan berpangkat besar. Semua ini tidak menjamin kesolehannya selagi tidak mempunyai iman kepada Allah dan berbakti kepada ibu dan bapanya.

Akhir sekali didiklah anak-anak kita dari sekarang sebelum terlambat supaya menjadi anak yang soleh. Sebelum peringkat itu, mula-mula kenalah jadikan kita dulu anak yang soleh, anak yang suka mendoakan kedua-dua ibu bapanya.


Sekian, Wallahu a’lam. 

No comments:

Post a Comment