Friday, November 25, 2016

Amanah Terbesar Ibu Bapa - Bahagian 2

Begitulah orang dahulu mengambil berat soal pemakanan anaknya. Sebaliknya kita bagaimana? Adakah kita bertanya dari mana buah jambu itu diambil?

Didikan seterusnya yang mesti dilakukan oleh ibu bapa ialah solat. Nabi saw pernah bersabda:

"Perintahkan anak-anakmu mengerjakan solat bila dia berumur 7 tahun dan pukullah dia apabila tidak mengerjakan solat semasa berusia 10 tahun dan pisahkan tempat tidur mereka."


Hadith ini adalah merupakan seruan wajib solat, Kanak-kanak itu belum lagi wajib bersolat tetapi yang wajib ialah bapa menyuruhnya bersembahyang. Anak itu belum wajib kerana dia belum cukup umur (baligh). Jika bapa tak beratkan dia bersolat ketika ini, agak sukar kanak-kanak itu bersolat apabila baligh. Budaya solat mesti dimulakan sejak 7 tahun lagi.

Soal baligh ini pada pedapat sekarang berbeza. Ada berpendapat selepas bersara baru nak solat. Maksudnya bila pencen (55 tahun) baru masuk umur baligh. Paling sedih ada yang tidak baligh sampai ke mati sebab tak solat.

Nabi Muhammad saw menyuruh (mewajibkan) kita pukul anak berumur 10 tahun yang tidak mahu solat. Tetapi adakah kita pukul? Kita mungkin pukul kalau tidak membuat kerja sekolah atau tidak lulus periksa. Jarang kedengaran kita memukul kerana tidak bersolat. Manakan hendak memukul anak tidak bersolat sedangkan ibu bapa sendiri tidak bersolat. Takkan ketam nak ajar anaknya berjalan betul. Ibu bapa dewasa ini tidak bimbang anak-anak walaupun perempuan tidak balik hingga larut malam tetapi yang dibimbangkan agaknya kalau anak-anak ayamnya belum pulang waktu senja.

Pendidikan juga bukan bermula ketika anaklahir. Bahkan semasa dalam kandungan ibu sudah mula proses tarbiyah. Sebab itu ibu-ibu mengandung perlu pastikan apa yang dia makan, apa yang dia buat dan apa yang dia baca. Sifat ibu akan diwarisi oleh anak. Kalau suka menyanyi atau menonton TV, anak yang lahir kelak akan menurut apa acuan yang dibentuk. Ramaikah ibu-ibu membaca Al-Quran semasa mengandungkan anaknya? Sedih melihat wanita pada masa ini yang asyik keluar masuk kilang saja hatta hingga larut malam masih lagi di kilang. Haiwan pun tidur waktu malam, kita manusia masih bertungkus lumus di kilang. Ajaran siapa ini? Allah peruntukkan masa siang untuk cari rezeki, masa malam untuk rehat. Kita siang malam sama saja mencari rezeki. Orang alim dulu siang bekerja malam beribadat. Kita siang kerja malam kerja. Bila nak beribadat? ... Sorry, no time ...

Bukan lelaki saja bahkan perempuan lebih ramai kerja shift malam. Manakan suami tak jadi liar? Habis semua disapu kadang-kadang anak sendiri jadi mangsa bila lihat isterinya tak ada. Nak salahkan siapa? Apabila terlalu pentingkan kebendaan duniawi beginilah akibatnya. Kemanisan beribadat tidak akan tercapai bagi mereka yang mengejar keduniaan. Kalau 90% usaha dicurahkan untuk dunia berapa peratus agaknya untuk akhirat. Kalau 10% ada juga tapi bila dah teruk kerja badan dah letih sudah tentu 0% untuk ibadat. Al-Quran ada menjelaskan 'Kaum lelaki adalah penjaga kaum wanita." Sekarang nak jaga apa? Asyik kerja siang malam. Anak isteri masing-masing punya pasal. Kau nak buat apa terpulang.. asalkan mewah hidup. 

Perasaan kasih sayang sudah luput dari ibu bapa. Ibu bapa dewasa ini kebanyakannya sudah tidak menyayangi anak-anak lagi. Buktinya mereka tidak ambil pusing hal-hal keagamaan mereka. Ada yang sanggup membiarkan anak-anak terjun ke dalam api neraka. Anak kera pun kesihan melihat anaknya ditembak pemburu.

Pernah seorang sahabat Nabi hairan tercengang melihat Nabi mencium pipi cucunya lantas bertanya kepada nabi. Dia bertanya kerana dia sendiri tidak pernah melayan anak atau cucu dengan mesra begitu. Nabi lantas menasihatkannya supaya mencurahkan kasih sayang kepada kanak-kanak.

Dalam satu hadith lain, Nabi Muhammad bersabda "Memandang muka anak-anak dengan rasa syukur akan rahmat Allah itu sama seperti melihat muka nabinya." Begitu besar pahala ibu bapa memuliakan anak-anak. Oleh itu kita hendaklah memelihara mereka dengan baik kerana menurut Nabi mengajar satu adab yang baik kepada mereka adalah lebih baik daripada memberi sedekah satu cupak makanan setiap hari.


Insya-Allah ganjaran pahala yang banyak akan diberikan kepada ibu bapa yang baik terhadap keluarganya. Oleh itu hendaklah kita sedar benar-benar bahawa kita akan menemui Allah (mati). Apatah lagi umur kita kian sehari kian bertambah. Apabila bertambah umur kita bererti bertambah hampir pula kita dengan alam barzakh (kubur) atau bertambah hampir kita akan menemui Allah. Kita semua akan kembali kepada Allah yang menjadikan kita. Allah akan bertanyakan apa amalan kita semasa di dunia ini. Apa yang kita bawa untuk dipersembahkan kepada Allah? Adakah harta benda yang kita cari selama ini, pagi petang, siang malam, bertungkus lumus macam lipas kudung, tak pernah renggang dengan telefon bimbit, melonggokkan harta, menambahkan saham hingga lupa pada saham akhirat dan lupa kepada Allah yang memberikan kita harta itu. Dapatkah harta yang banyak itu menebus dosa-dosa yang kita buat di dunia ini?
 

No comments:

Post a Comment