Friday, December 2, 2016

Membentuk Srikandi Muslimah

Menjadi wanita memang menyenangkan, apalagi wanita "Muslimah", sebab muslimah bererti wanita yang telah dipilih oleh Allah untuk menerima hidayah-Nya dan menjalankan kehidupan sesuai dengan sunnah Rasul-Nya. Rasulullah sebagai manusia pilihan Allah, sangat sayang akan muslimah.

Baginda sangat menyayangi muslimah sehingga beliau berpesan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, "Tidaklah seorang muslim yang mempunyai anak
dua orang perempuan kemudian berbuat baik dalam berhubungan dengan kedua-duanya akan dapat memasukkannya ke dalam syurga."


Pada masa hayat baginda kaum wanita merasakan angin segar dalam kehidupannya, setelah sebelumnya pada masa jahiliyah hidup teraniaya, tidak mendapatkan hak yang semestinya. Kehidupan wanita muslimah saat itu boleh dikatakan beruntung dibandingkan dengan wanita sekarang pada umumnya kerana muslimah relatif hidup dalam komuniti masyarakat yang memahami nilai Islam secara baik. Hidup mereka betul-betul tersanjung, kerana mereka merasakan hidup sesuai dengan fitrahnya.

Berbeza dengan situasi sekarang, ketika banyak wanita menuntut persamaan hak dan darjat. Boleh dikatakan kehidupan wanita sekarang berada di tengah-tengah komuniti masyarakat yang tidak memahami nilai-nilai Islam. Ini menyebabkan keserabutan dalam hidup mereka. Sudah tentu wanita muslimah harus berupaya menghilangkan dugaan tersebut. Caranya adalah dengan mula mengaktifkan dirinya dalam pelaksanaan nilai-nilai Islam serta berupaya mengajak wanita lain untuk beramal Islami.

Ustaz Faisal Maulawi, seorang Mufti Lebanon, menyatakan, "Saatnya sekarang keadaan umat sedang dalam keadaan bahaya, para wanita muslimah yang solehah terjun untuk terlibat aktif dalam membentengi dan memperbaiki umat."

Untuk menjadi muslimah yang disayangi oleh Rasulullah SAW hendaknya diperhatikan empat hal berikut:

1. Faqihah Lidiiniha

Seorang muslimah hendaklah faqih (faham) terhadap din (agamanya). Selayaknya dapat membaca Al-Qur'an dengan baik dalam erti tajwid dan makhraj hurufnya. Kemudian dapat membaca hadis dan selalu pula menjadi bacaan hariannya, kerana dengan itu dapat memahami keinginan Rasulnya dan kemudian berusaha menyesuaikan kehidupannya sesuai dengan cara hidup Rasulullah SAW.

Mereka juga harus berusaha memperkaya diri dan wawasannya melalui belajar kepada seorang guru yang jujur dalam menyampaikan ilmunya, dan berusaha membaca banyak buku agama lainnya seperti tentang aqidah, akhlak, fiqh, sirah, fiqh dakwah, tarikh Islam, sejarah dunia dan ilmu kontemporari lainnya. Contoh muslimah yang menguasai ilmu-ilmu ini adalah Aisyah RA.

2. Najihah fi Tarbiyyati Auladiha

Seorang aktivis muslimah yang telah berkeluarga hendaklah berupaya dalam mendidik anaknya, bahkan bagi seorang aktivis yang belum berkeluarga pun seharusnya mempelajari bagaimana cara mendidik anak dalam Islam, kerana ilmu tersebut fardhu 'ain, sehingga mempelajarinya sama dengan mempelajari wudhu, solat, puasa, dan sebagainya. Sehingga tahu betul cara mendidik anak dalam Islam yang akhirnya anak-anak tersebut akan dipersembahkan untuk kejayaan Islam dan kaum muslimin. Insya-Allah kelak mereka akan menjadi Ibu yang sukses seperti Hajar dan Khadijah ra.

3. Muayyidah fi Da'wati Zaujiha

Sebagai aktivis amal Islami, tanggungjawab kita bukan hanya kepada masalah luaran, mengupayakan pelaksanaan amal Islam terhadap orang lain, akan tetapi tanggungjawab terhadap aktiviti keluarga harus lebih diutamakan, misalnya memberikan motivasi amal Islami kepada anak, pembantu, juga suami. Selain itu, menjadi muslimah yang senantiasa menjadi motivator kebaikan suaminya, seperti Ummu Sulaim yang menikah dengan Abu Tholhah dengan mahar syahadat. Namun ketika Abu Tholhah wafat Rasulullah mensolatkannya sampai sembilan kali takbir, menunjukkan sayangnya Rasulullah kepada beliau kerana tidak pernah berhenti dalam beramal dan berjihad bersama Rasul. Hal ini dilakukan kerana selalu mendapat motivasi dari Ummu Sulaim, isterinya.

4. Naafi'ah Fi Taghyiiri Biiatiha

Mereka selalu bertanggungjawab terhadap lingkungannya, selalu membuka mata dan telinga untuk mengetahui keadaan sekelilingnya, selalu mengupayakan lingkungannya menjadi lebih baik. Contohnya Ummu Syuraik yang selalu mengelilingi pasar bila saat solat tiba untuk mengingatkan penghuni pasar agar segera melaksanakan solat dengan kalimatnya yang terkenal 'Assolah, Assolah!!!' 

Waalahu a'lam...


No comments:

Post a Comment