Friday, December 2, 2016

Kisah Pedang Saidina Ali R.A.

Saiyidina Ali punya pedang yang begitu digeruni oleh musuh-musuhnya. Pedang yang bernama Zulfaqar itu sentiasa dibawa bersamanya dalam peperangan-peperangan dengan orang kaum musyrikin. Dan setiap kali membawa pedang itu, Saiyidina Ali berjaya mengalahkan musuhnya.
Berita tentang kehebatan pedang itu sampai kepada seorang lelaki. Dia juga seorang pejuang Islam. 


Tertarik dengan berita kehebatan pedang itu, lelaki itu pun datang menemui Saiyidina Ali dan berkata,” tolong pinjamkan aku pedang mu yang hebat itu.” 

Tanpa banyak bicara Saiyidina Ali pun meminjamkan pedang itu kepada lelaki tersebut. Lelaki itu sangat gembira. Apabila sahaja terjadi peperangan, dia pun pergi dengan membawa pedang itu sekali. Dia ingin merasai sendiri kehebatan pedang Saiyidina Ali itu.



Tidak lama kemudian perang pun tamat. Lelaki itu pulang dengan pedang yang dipinjamkan oleh Saiyidina Ali itu.



“Nah, ambillah kembali pedang ini,” katanya sebaik menemui Saiyidina Ali. 



“Bagaimana, hebat tak pedang ini?” tanya Saiyidina Ali. 



“Ah, biasa-biasa sahaja. Jika aku tahu begini, tak akan aku pinjam pedang ini daripada mu. Mengapa pedang ini tak sehebat yang diceritakan?” 



“Kau hanya meminjam pedang, tetapi kau tidak “meminjam” tangan yang memegang pedang itu!” kata Saiyidina Ali.



Pengajaran:



Kekuatan utama manusia bukan kepada alat-alat yang digunakannya, tetapi pada dirinya sendiri. Teknologi yang canggih hanya akan membawa kebaikan jika manusia yang menggunakannya memiliki hati yang bersih dan fikiran yang bijak. Di tangan orang yang dungu, teknologi walau secanggih mana pun tidak akan dapat digunakan. Manakala di tangan orang yang jahat, teknologi hanya akan membawa seribu satu kejahatan dan kehancuran.



Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment