Thursday, November 24, 2016

Manfaatkan Cuti Secara Bijak

Kita telah berada di denai penghujung 2016! Anak-anak telah pun bercuti. Bagaimana dengan pengisian cuti anak-anak setakat ini? Jangan lupa masukkan aktiviti belajar sebagai salah satu pengisian cuti anak-anak. Cikgu harapkan tip belajar semasa cuti sekolah yang cikgu kongsikan dalam kelas bermanfaat buat anak-anak.

Kali ini, cikgu akan berkongsi dengan anak-anak tip memanfaatkan masa semasa cuti sekolah.
Khususnya berkongsi perkara yang boleh memberi manfaat kepada masa hadapan anak-anak.

1.     Bijak Menggunakan Internet dan Gajet. 

Elakkan diri anak-anak daripada menghabiskan masa yang lama dengan melayari internet. Khususnya melayari laman-laman sosial seperti facebook, twitter dan youtube. Kecuali anak-anak menggunakannya bagi tujuan pembelajaran. Contohnya ;  Melayari portal-portal pendidikan atas talian yang berkaitan dengan mata pelajaran anak-anak. Memanfaatkan e-mel dan laman sosial bagi bertukar-tukar ilmu dan pengalaman bersama rakan-rakan dan guru-guru. Melayari laman-laman yang boleh meningkatkan pengetahuan am anak-anak. 

2.     Ulang Kaji Berkumpulan

Selain mengulang kaji sendirian di rumah, anak-anak boleh melakukannya berkumpulan. Dengan cara ini anak-anak dapat bertukar-tukar idea dengan rakan-rakan lain. Khususnya daripada rakan-rakan yang mahir bagi sesuatu mata pelajaran. Secara tidak langsung, ulang kaji berkumpulan juga dapat mengurangkan rasa bosan atau mengantuk berbanding anak-anak ulang kaji sendirian di rumah. 

3.     Berkunjung ke Perpustakaan Awam. 

Salah satu tempat yang boleh anak-anak kunjungi dengan lebih kerap berbanding pada hari-hari persekolahan biasa adalah perpustakaan awam. Anak-anak boleh mengulang kaji pelajaran di sini dan membuat rujukan. Banyak bahan rujukan yang boleh anak-anak peroleh sama ada dalam bentuk buku atau dalam talian (internet). Jika anak-anak kurang mahir menggunakan perkhidmatan yang disediakan di sini, dapatkan bantuan daripada pustakawan yang bertugas.

4.     Mengikuti Kelas Tuisyen. 
Bagi meningkatkan penguasaan anak-anak terhadap mata pelajaran yang anak-anak pelajari di sekolah, anak-anak boleh mengikuti kelas tuisyen. Khususnya bagi mata pelajaran yang akan anak-anak ambil dalam peperiksaan PT3, SPM dan sebagainya.

5.     Menyertai Kem Motivasi. 
Salah satu faktor yang menyebabkan seseorang pelajar itu bersemangat untuk belajar ialah memiliki motivasi diri yang tinggi. Oleh itu, anak-anak boleh menyertai kem-kem motivasi yang lazimnya banyak diadakan pada waktu cuti persekolahan bagi meningkatkan motivasi diri anak-anak. Membaca buku-buku teknik belajar berkesan. Menerusi buku-buku ini, anak-anak akan memperoleh tip-tip dan panduan bagi membolehkan anak-anak belajar dengan berkesan. Mudah faham dan mudah ingat isi pelajaran yang dipelajari. Antara buku yang boleh anak-anak baca ialah buku Skor 5A UPSR dan buku Tip Belajar Sedikit Dapat Banyak yang cikgu tulis.

Semoga tip-tip yang dikongsi ini bermanfaat buat anak-anak bagi mengisi waktu cuti sekolah pada kali ini. 

Selamat Bercuti Secara Bijak!



No comments:

Post a Comment