Saturday, May 23, 2020

PERUTUSAN AIDILFITRI PENGETUA SAMAKU

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.
Marilah kita sama-sama bertahmid dan memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah di atas nikmat kemenangan yang dianugerahi kepada kita untuk menyempurnakan ibadah puasa tahun ini. Kemenangan ini amat bermakna jika kita berjaya melaksanakan tranformasi tarbiyah diri ke arah menjadi insan terdidik yang sentiasa berakhlak kepada Allah dan manusia sepanjang kehidupan kita.
Ibadah puasa merupakan satu-satunya perjalanan spiritual yang ikhlas bagi mentarbiyah rohani dan kekuatan fizikal.
Semoga Ramadan pada kali ini mampu menjadikan kita individu yang sanggup bekerja keras, meningkatkan kemahiran secara konsisten dan beriltizam menggunakan segala ruang yang ada dengan optimum bagi menyusun atur satu trek kehidupan bagi generasi hadapan.
Sejak 14 Mac 2020 sehingga kini kita tidak bersua muka fizikal kecuali dalam pertemuan maya natijah penularan COVID-19. Pada 24 Mei 2020 kita akan mengumandangkan takbir walaupun terpaksa bertapa di kediaman masing-masing. Walaupun dalam syiar meriahnya perayaan dan besarnya jiwa kemenangan, saya menyeru kepada semua warga SAMAKU agar sekali-kali tidak melanggari ketetapan kerajaan dalam menyambut panji kemenangan Syawal dalam kelaziman baharu (new norms). Walau apapun kita tidak seharusnya melupakan insan-insan yang tidak berkemampuan dan saudara-saudara Islam kita yang terjebak dalam krisis dan peperangan yang mengorbankan jiwa dan nyawa. Semoga kita menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dengan kehidupan yang aman di bumi yang bertuah ini. Firman Allah dalam surah Luqman ayat 12:
وَلَقَدۡ ءَاتَيۡنَا لُقۡمَـٰنَ ٱلۡحِكۡمَةَ أَنِ ٱشۡكُرۡ لِلَّهِ‌ۚ وَمَن يَشۡڪُرۡ فَإِنَّمَا يَشۡكُرُ لِنَفۡسِهِۦ‌ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌ۬ (١٢)
“Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmah kepada Luqman supaya dia bersyukur kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”
Bertitik-tolak dari sini, sewajarnya Syawal yang menjelang dengan kelaziman baharu membawa makna yang mendalam tentang betapa besarnya ujian Ilahi kepada kita tetapi masih ada kasih-sayang-Nya dengan dapat meraikan hari-hari kebesaran sebegini dalam keadaan kecukupan dan kelimpahan walaupun agak janggal untuk meraikannya.
Sempena bulan yang mulia ini, marilah kita terus menyemarakkan tradisi murni saling bermaafan dalam cara yang agak baharu berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Akhir kata, saya dengan rasa kerendahan hati bagi pihak diri, isteri, anak-anak dan seisi keluarga mengambil kesempatan ini memohon kemaafan zahir dan batin atas apa jua kesalahan mahupun kekhilafan yang dilakukan semasa menerajui SMKA Matang 2 yang dicintai. Saya mendoakan warga SAMAKU yang tidak dapat pulang ke kampung untuk berhari raya bersama-sama keluarga agar reda dan berprasangka baik kepada-Nya. Semoga Allah sentiasa merahmati kita semua.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillah hil Hamd.
Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir dan Batin
Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

RUSLI BIN CHE MOOD
Pengetua SMKA Matang 2 Kuching.
23 MEI 2020

2 comments:

  1. Assalamualaikum Wbt.. Kepada semua Warga guru & AKP serta Dan Pibg SAMAKU.. Diucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan dokongan semua. Selamat Hari Raya maaf zahir batin.. # Stay safe # Stay home

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Wbt. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillah Hil Hamd. Sempena hari raya ini, saya ingin mengucapkan maaf zahir batin kepada semua warga SAMAKU, murid, bekas murid dll. Saya memohon maaf jika pernah tersalah kata, mmengguris perasaan, termakan, terminum, meminjam dll sepanjang 17 tahun berada di SAMAKU. Sama samalah kita membina SAMAKU supaya menjadi lebih gemilang lagi.
    Selamat Hari Raya Aidilfitri
    Maaf Zahir & Batin
    Sidek dan keluarga.

    ReplyDelete